Remaja 15 Tahun Diperintah Bela Diri Kes Bunuh Pelajar Di Bandar Utama

SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama tahun lalu diperintah membela diri selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abd Majid, dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup kerana membabitkan seorang pesalah juvana, lapor New Straits Times.

Perbicaraan kes berkenaan bermula pada 3 Ogos lalu, dengan remaja terbabit didakwa membunuh mangsa di dalam tandas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama (4) pada 14 Oktober 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, selain sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap kanak-kanak yang berusia di bawah 18 tahun berdasarkan Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.

Sementara itu, remaja berkenaan diwakili peguam Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.

Yasmeen Shariff dan Jason Lim turut hadir sebagai peguam pemerhati masing-masing mewakili Majlis Peguam serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

BBerkaitan

Latest articles