KUANTAN: Umno Pahang tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya langkah itu membawa manfaat kepada rakyat di negeri berkenaan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keterbukaan itu bukan hanya terhad kepada PAS, malah turut meliputi mana-mana parti politik yang boleh menyumbang kepada kepentingan rakyat Pahang.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, bagaimanapun, setakat ini belum wujud sebarang rundingan rasmi antara Umno dan PAS berkaitan perkara berkenaan.
“Kita terbuka. Bukan sahaja kepada PAS, kepada mana-mana parti sekalipun,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, tumpuan kerajaan negeri ketika ini lebih diberikan kepada usaha meneruskan khidmat kepada rakyat, berbanding membuat percaturan politik terlalu awal menjelang PRU16.
Kenyataan itu hadir selepas Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, dilaporkan berkata parti berkenaan bersedia berdepan dengan mana-mana parti pada pilihan raya akan datang sekiranya usaha menyatukan parti-parti Melayu tidak mencapai kesepakatan.
Rosli sebelum ini turut menjelaskan bahawa agenda penyatuan ummah kekal sebagai antara keutamaan PAS, namun setakat ini belum ada perbincangan rasmi mengenai kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di Pahang.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, sebelum ini mengingatkan bahawa formula kerjasama politik yang digunakan di sesebuah negeri tidak semestinya sesuai dilaksanakan di Pahang atau negeri lain.
Beliau berkata keadaan dan dinamika politik setiap negeri adalah berbeza, sekali gus memerlukan pendekatan yang bersesuaian dengan situasi setempat.
Pahang ketika ini ditadbir menerusi kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH), susulan keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada satu pun parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.
Dalam PRU15, BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lapan kerusi.










