Anggota Tentera Cedera Terkena Tembakan Rakan Di Lapang Sasar

PORT DICKSON: Aktiviti di Lapang Sasar Sungai Menyala pada Rabu, bertukar cemas apabila seorang anggota tentera cedera selepas dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan rakan sepasukan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi laporan yang diterima kira-kira jam 2.15 petang.

Katanya, ketika kejadian, mangsa berada di lokasi berkenaan bersama beberapa anggota tentera lain.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan oleh rakan sepasukannya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, insiden tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya.

Sementara itu, polis menahan seorang anggota tentera lelaki berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Menurut Mohd Nasharudin, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti bagaimana kejadian itu berlaku dan punca sebenar insiden,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.

BBerkaitan

Latest articles