KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibenarkan pulang ke kediamannya hari ini selepas menjalani sesi fisioterapi susulan prosedur pembedahan laparoskopi bagi merawat hernia perut.
Perkembangan berkenaan dikongsikan Anwar menerusi hantaran di Facebook malam ini, sambil memaklumkan beliau sudah kembali ke rumah.
“Alhamdulillah, back home (kembali ke rumah),” katanya.
Menerusi hantaran sama, Anwar turut memuat naik gambar dirinya sedang membaca buku In the Realm of the Last Man karya Francis Fukuyama.
Anwar sebelum ini menjalani pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat para-umbilical hernia pada Isnin lalu.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah, memaklumkan prosedur itu berlangsung dengan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.
Selepas pembedahan, Perdana Menteri menjalani rawatan fisioterapi selain terus dipantau pasukan pakar bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.










