25% Ahli PKR Sertai Bersama Selepas PH Tewas PRN Negeri Sembilan

PUCHONG: Sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan keahlian Bersama terdiri daripada bekas ahli PKR, susulan peningkatan ketara permohonan menyertai parti itu selepas Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata parti berkenaan kini mempunyai kira-kira 29,200 ahli, dengan majoritinya merupakan individu yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam mana-mana parti politik.

Menurutnya, sekitar 60 peratus ahli Bersama tidak pernah menyertai parti politik, sekali gus menyumbang kepada sebahagian besar permohonan baharu yang diterima setiap hari.

“Selepas PH kalah PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, kita melihat lonjakan dalam permohonan untuk menjadi ahli Bersama.

“Sehingga minggu lalu, 25 peratus ahli Bersama adalah bekas ahli PKR,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersama di Taman Putra Perdana, di sini.

Rafizi berkata, kira-kira 15 peratus lagi ahli Bersama merupakan bekas anggota parti politik lain, khususnya parti berasaskan Melayu.

Katanya, kelompok itu termasuk bekas ahli UMNO, PAS, Bersatu, Pejuang dan Amanah.

“Ini bermakna mereka ialah bekas ahli Umno, PAS, Bersatu, Pejuang dan Amanah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bekas ahli DAP membentuk kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan keahlian Bersama.

Mengulas kemungkinan lebih ramai Ahli Parlimen menyertai Bersama susulan tindakan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, meninggalkan PKR dan menyertai parti berkenaan, Rafizi berkata beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan bagi pihak wakil rakyat lain.

Wong menyertai Bersama hari ini, hanya dua hari selepas mengumumkan pengunduran sebagai Ahli Parlimen Subang. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai wakil rakyat selama tiga penggal dan menjadi anggota PKR selama 17 tahun.

Sementara itu, Rafizi mengumumkan Bersama dijangka mengadakan pemilihan parti dalam tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang, selepas proses pindaan perlembagaan parti diselesaikan.

BBerkaitan

Latest articles