PUCHONG: “Rekod saya jelas, hati nurani saya benar-benar bersih.” Itu penegasan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, ketika menjelaskan keputusannya meninggalkan kerusi berkenaan lebih awal sebelum pembubaran Parlimen.
Pada masa sama, Wong memohon maaf kepada rakyat yang pernah memberikan kepercayaan kepadanya selepas beliau memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang pada Isnin lalu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat walaupun masih berbaki kira-kira setahun sebelum Parlimen terbubar secara automatik.
“Meletak jawatan satu tahun lebih awal (sebelum Parlimen terbubar automatik) menjadi perkara yang saya ingin mohon maaf kepada rakyat.
“Saya sepatutnya boleh menunggu sehingga Parlimen dibubarkan, tetapi saya memilih untuk berundur,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersama, hari ini.
Wong, yang berkhidmat sebagai wakil rakyat Subang dan Kelana Jaya sejak 2013, berkata beliau tidak pernah menyesali tempoh lebih 13 tahun yang dilaluinya sebagai Ahli Parlimen.
Sebaliknya, katanya, sepanjang tempoh berkenaan beliau melaksanakan tanggungjawab dengan tekun dalam mewakili penduduk di kawasan terbabit.
Menurutnya, keputusan untuk berundur daripada Parlimen serta meninggalkan PKR bukan dibuat kerana kepentingan peribadi, sebaliknya didorong rasa tanggungjawab untuk mempertahankan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan saya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang dan keluar PKR didorong rasa tanggungjawab saya untuk mempertahankan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.
“Rekod saya jelas, hati nurani saya benar-benar bersih,” katanya.
Peletakan jawatan Wong pada Isnin turut mengakhiri penglibatan beliau dalam PKR selepas hampir dua dekad bersama parti itu.
Hari ini, beliau secara rasmi menyertai Bersama, parti yang diasaskan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, bersama Nik Nazmi Nik Ahmad.
Wong sebelum ini antara beberapa Ahli Parlimen PKR yang hadir pada majlis pelancaran Bersama pada Mei lalu.










