KUALA LUMPUR: Sebarang usaha PAS untuk menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana parti tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu terlebih dahulu mendapat pertimbangan Majlis Syura Ulama.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu turut terpakai sekiranya terdapat cadangan untuk membentuk jajaran politik baharu, termasuk berkaitan keterbukaan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan parti lain atas alasan kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, keputusan berkaitan kerjasama dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) pula perlu diputuskan menerusi mesyuarat gabungan berkenaan.
“Sebarang kerjasama politik mesti diangkat ke Majlis Syura Ulama. Manakala, dalaman PN ia mesti diputus dalam mesyuarat PN.
“Buat masa ini kita lebih memberi fokus membina kekuatan PN menghadapi PRN Melaka,” katanya memetik FMT.
Kenyataan itu dipercayai merujuk pendirian Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang sebelum ini membuka ruang kepada kemungkinan PH menjalin kerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan prinsip kestabilan politik serta kepentingan rakyat.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan PH Selangor yang diketuai Amirudin tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Bersatu, khususnya dalam konteks politik di negeri itu.
Cadangan jajaran berkenaan dipercayai antara usaha memastikan PH dan Bersatu kekal mempunyai kekuatan serta relevan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kemungkinan PH Selangor bekerjasama dengan Bersatu yang ketika ini masih merupakan salah satu komponen PN.
“Soal Bersatu (nak kerjasama dengan PH) terpulang kepada mereka untuk menerima atau sebaliknya,” katanya.










