KEPALA BATAS: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya dijadikan sasaran atau dipersalahkan secara keseluruhan susulan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan Tabung Haji (TH).
Menurut beliau, laporan RCI telah mengenal pasti wujud pihak yang perlu dipertanggungjawabkan, justeru akauntabiliti harus dituntut daripada individu yang terbabit dan bukannya meletakkan kesalahan terhadap parti secara menyeluruh.
Katanya, cubaan mengaitkan UMNO dan BN dengan keseluruhan isu itu adalah tidak adil, apatah lagi bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri telah menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama dan berdepan sebarang siasatan jika diperlukan.
“Abdul Azeez sendiri telah menyatakan bahawa beliau bersedia berdepan siasatan sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas Program Pengagihan Jalur Gemilang di kawasan Parlimennya, hari ini.
Rabu lalu, laporan RCI setebal 252 muka surat berhubung pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum.
Antara penemuan utama laporan itu ialah dakwaan bahawa TH menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar selama beberapa tahun. Bagi tahun kewangan 2017, institusi itu dilaporkan mencatat keuntungan RM3.4 bilion, namun mengikut piawaian perakaunan yang sepatutnya, TH sebenarnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, membabitkan perbezaan hampir RM4.8 bilion.
Mengulas lanjut, Reezal berkata isu berkenaan perlu ditangani secara berhati-hati memandangkan ia melibatkan kira-kira 9.7 juta pendeposit, dengan lebih separuh daripada mereka mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300.
Beliau menegaskan, penemuan RCI jelas menunjukkan terdapat pihak yang perlu tampil memberikan penjelasan dan bertanggungjawab terhadap kelemahan yang dikenal pasti.
“RCI telah menyatakan dengan jelas bahawa ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan. Mereka perlu menjawab segala penemuan yang terkandung dalam laporan itu,” katanya.
Dalam masa sama, Reezal menolak dakwaan bahawa UMNO mengamalkan budaya rasuah atau melindungi pemimpin yang dikaitkan dengan salah laku.
Beliau berkata, sejarah membuktikan UMNO pernah mengambil tindakan terhadap pemimpin sendiri yang didapati melakukan kesalahan, termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Harun Idris yang pernah dipenjarakan.
Menurutnya, tuduhan yang menggambarkan seluruh UMNO dan BN terpalit dengan amalan rasuah adalah tidak tepat serta boleh menimbulkan persepsi negatif, khususnya apabila melibatkan institusi penting seperti Tabung Haji.
“Saya bimbang perkara ini akan menjejaskan keyakinan para pendeposit serta membentuk persepsi buruk dalam kalangan masyarakat. Tindakan terhadap pihak yang bersalah memang perlu diambil, namun ia juga mesti dilaksanakan secara bijaksana supaya tidak mengakibatkan kerugian kepada semua pihak,” katanya.










