Zahid Jawab Isu Campur Tangan Pelantikan MB N. Sembilan – “Saya Tak Mahu Layan Kenyanyukan Seseorang”

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar dakwaan kononnya berlaku campur tangan pihak luar dalam pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai kenyataan daripada individu yang tidak memahami realiti politik dan proses pentadbiran.

Beliau berkata, dakwaan yang dibangkitkan Pengerusi Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Tan Sri Dr Rais Yatim, tidak wajar dilayan kerana pelantikan Menteri Besar sememangnya memerlukan nama calon dikemukakan kepada pihak istana mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurut Ahmad Zahid, kapasiti beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) menuntutnya mengemukakan watikah serta mencadangkan nama calon Menteri Besar kepada pihak berkenaan.

“Sebagai Pengerusi BN, sudah tentu saya perlu mengemukakan watikah dan cadangan nama. Saya tidak mahu melayan kenyanyukan seseorang yang tidak memahami realiti politik bahawa nama perlu dikemukakan kepada pihak istana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Rais dilaporkan mempertikaikan proses pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan mendakwa berlaku campur tangan pihak luar dalam urusan yang membabitkan adat serta perlembagaan negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan dakwaan itu tidak berasas kerana tindakan beliau menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi BN tidak boleh disifatkan sebagai campur tangan luar.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menolak khabar angin yang mendakwa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) akan dilantik menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.

“Tidak akan pernah ada,” katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara itu.

Spekulasi berhubung pelantikan ADUN PH ke dalam pentadbiran negeri timbul selepas tersebar dakwaan bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang berkemungkinan menyertai kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Terdahulu, Ismail memaklumkan senarai penuh barisan EXCO Negeri Sembilan sedang dimuktamadkan dan dijangka diumumkan sama ada pada Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.

BBerkaitan

Latest articles