KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan rasmi berhubung status baki peruntukan Parlimen Petaling Jaya berjumlah RM3 juta yang didakwa tidak lagi disalurkan melalui wakil rakyat yang dipilih.
Beliau mendakwa, aksesnya ke portal MyKhas telah disekat sejak penghujung Mei lalu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa peruntukan berkenaan tidak lagi disalurkan melalui Ahli Parlimen.
Menurut Chean Chung, perkara berkenaan menjadi semakin meragukan selepas beliau menerima satu tangkap layar mesej WhatsApp melibatkan jawatankuasa parti di peringkat cabang.
“Selepas program Perdana Menteri di Petaling Jaya, saya menerima satu tangkap layar daripada kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Petaling Jaya.
“Dalam mesej tersebut, Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, YB Hee Loy Sian memaklumkan bahawa permohonan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Parlimen Petaling Jaya untuk kerja-kerja kecil dan sumbangan kewangan boleh merujuk kepadanya.
“Memandangkan pertanyaan melalui saluran rasmi tidak mendapat sebarang maklum balas, saya terpaksa mendedahkan perkara ini kepada pengetahuan umum demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Chean Chung mempertikaikan tindakan menyerahkan pengurusan dana awam kepada pemegang jawatan parti politik tanpa sebarang pengumuman atau garis panduan rasmi kepada penduduk setempat.
Beliau turut mempersoalkan sama ada situasi sama turut berlaku di kawasan Parlimen lain seperti Subang dan Ampang yang turut berdepan sekatan akses portal peruntukan berkenaan.
“Sejak bilakah dana rakyat boleh diserahkan kepada Ketua Cabang PKR? Peruntukan Parlimen adalah wang awam yang diperuntukkan untuk manfaat seluruh rakyat, bukannya untuk diurus oleh mana-mana jawatan parti politik.
“Jika benar berlaku perubahan mekanisme penyaluran peruntukan, mengapa tiada pekeliling, kenyataan rasmi atau garis panduan diumumkan kepada rakyat Petaling Jaya? Adakah dana RM3 juta itu masih kekal di bawah kawalan kerajaan yang telus, atau kini diurus melalui saluran parti?” soal beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM menyatakan sama ada pengurusan dana menerusi saluran parti mematuhi prinsip tadbir urus dan undang-undang, di samping meminta parti komponen Kerajaan Perpaduan seperti DAP dan Amanah menyatakan pendirian masing-masing.
“Saya sekali lagi menegaskan bahawa isu ini bukan mengenai kepentingan seorang Ahli Parlimen. Isunya ialah ketelusan, akauntabiliti dan hak rakyat Petaling Jaya untuk mengetahui siapakah yang kini menguruskan baki RM3 juta peruntukan kawasan mereka.
“Kerajaan wajib memberikan jawapan yang jelas dan terbuka kepada rakyat mengenai prosedur serta mekanisme semak dan imbang yang digunapakai,” tegasnya.










