Isu Pelantikan MB: ADUN Lenggeng Tempelak Dakwaan Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Dakwaan wujud campur tangan pihak luar dalam pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan seperti yang didakwa bekas Ahli Parlimen Jelebu, Tan Sri Rais Yatim disifatkan sebagai tidak benar dan tidak berasas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa bergerak di atas landasan undang-undang serta tidak pernah campur tangan dalam institusi Raja dan Adat di negeri berkenaan.

Menurut beliau, tindakan Ahmad Zahid menyerahkan senarai nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilakukan secara profesional mengikut amalan biasa BN.

“Beliau (Ahmad Zahid) tidak dipengaruhi atau campur tangan dengan urusan pemilihan ini dan beliau bersikap amat profesional.

“Selepas penyerahan senarai nama kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar, Pengerusi BN menyerahkan sepenuhnya ke atas budi bicara DYMM Tuanku bagi memilih Menteri Besar.

“Ini bukan sahaja dilakukan di Negeri Sembilan, malah di semua negeri di bawah pemerintahan BN,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, Rais Yatim mendakwa wujud campur tangan luar dalam urusan adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan menerusi pertemuan antara Ahmad Zahid dengan Tuanku Muhriz sebelum pelantikan Menteri Besar dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Mohd Asna menggesa semua pihak dan kepimpinan politik agar menghentikan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan memandangkan Menteri Besar Negeri Sembilan telah pun dilantik serta mula bertugas.

Tegasnya, tumpuan utama ketika ini perlu diberikan kepada usaha merancakkan pembangunan negeri dan menunaikan manifesto pilihan raya demi kesejahteraan rakyat.

“Sebagai rakyat, wajib kita taat kepada titah DYMM Tuanku Muhriz yang meminta supaya mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Beri ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asna turut menepis khabar angin berhubung desas-desus pembentukan kerjasama atau perbincangan untuk membawa Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Berkenaan isu ada ura-ura perbincangan membawa Pakatan Harapan dalam kerajaan, saya ingin menegaskan, langsung tiada perbincangan, TITIK,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles