Pengiktirafan Sharifah Hapsah Di Thailand Bukti Keupayaan Wanita Malaysia – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan ucapan tahniah kepada Prof. Emerita Tan Sri Datuk Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin atas pengurniaan Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang bagi Pembangunan Sosial.

Anugerah berprestij itu dikurniakan oleh Raja Permaisuri Thailand, Ratu Suthida Bajrasudhabimalalakshana.

Anwar menerusi hantaran di laman media sosial beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar mengharumkan nama negara, malah menyerlahkan ketokohan, keupayaan serta sumbangan besar wanita Malaysia yang terus mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi ilham kepada lebih ramai wanita untuk terus menyumbang dengan ilmu, kepimpinan dan nilai ihsan dalam membina masyarakat serta menjayakan agenda Malaysia MADANI,” kata beliau.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa jentera kerajaan di bawah pimpinan beliau akan terus berusaha memartabatkan peranan wanita serta memperluas peluang penyertaan mereka dalam pelbagai bidang.

Langkah itu, tegas beliau, adalah bagi memastikan bakat, kepimpinan dan potensi golongan wanita terus diperkasa sebagai antara tunjang utama pembangunan negara.

BBerkaitan

Latest articles