MBDK: Gangguan Individu Dakwa Pemilik Anjing Punca Haiwan Mati, Bukan Salah SOP

SHAH ALAM: Gangguan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya pemilik seekor anjing liar dikenal pasti sebagai faktor yang membawa kepada kematian haiwan itu ketika operasi tangkapan di Taman Teluk Gedung Indah, Klang baru-baru ini, bukannya akibat kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain menegaskan siasatan dalaman mendapati anggota penguat kuasa melaksanakan operasi mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk penggunaan alat ‘loop’ dan jaring khas bagi menangkap anjing liar.

Menurut beliau, operasi pada malam kejadian berjaya menangkap 12 ekor anjing dengan bantuan penduduk setempat, namun situasi bertukar kecoh ketika usaha menangkap anjing ke-13.

Katanya, berdasarkan penjelasan pegawai dan anggota yang terlibat, haiwan berkenaan dipercayai tidak akan mati sekiranya operasi itu tidak diganggu oleh individu terbabit.

“Kaedah yang digunakan adalah mengikut SOP, iaitu menggunakan ‘loop’ atau jaring seperti penangkap rama-rama. Anjing itu dijangka tidak akan mati jika tiada gangguan ketika operasi dijalankan,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Abd. Hamid berkata, individu berkenaan pada awalnya mendakwa anjing itu miliknya, namun kemudian menafikan perkara tersebut. Justeru, MBDK menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

Beliau memaklumkan dua pegawai MBDK telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Mengulas persepsi masyarakat terhadap kaedah menangkap anjing liar, beliau berkata penggunaan ‘loop’ sememangnya sebahagian daripada SOP, selain menegaskan keselamatan anggota penguat kuasa dan penduduk perlu diutamakan memandangkan haiwan liar boleh bertindak agresif.

Menurutnya, keadaan menjadi sukar dikawal apabila berlaku tarikan pada tali penangkap selain seorang wanita yang mendakwa memiliki anjing berkenaan mengugut untuk mencederakan dirinya.

Abd. Hamid turut menjelaskan operasi itu bukan dilakukan secara mengejut, sebaliknya notis telah dimaklumkan lebih awal melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Operasi tersebut melibatkan 11 anggota MBDK dengan kerjasama kira-kira 50 penduduk.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu dibuat susulan kira-kira 50 aduan diterima setiap bulan berkaitan anjing liar yang berkeliaran dan mengancam keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Masalah ini agak kritikal dan tindakan diambil berdasarkan aduan yang diterima,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui MBDK berdepan cabaran besar untuk menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota serta kesukaran mendapatkan syarikat swasta yang sanggup menjalankan operasi tangkapan.

“Jumlah anggota kami kurang daripada 20 orang, sedangkan aduan diterima sangat banyak dan kawasan Klang amat luas. Kebanyakan anjing pula berada di kawasan industri dan perumahan serta aktif pada waktu malam, sekali gus menjadikan operasi lebih mencabar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan operasi tangkapan anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh selepas seorang individu didakwa mengugut anggota penguat kuasa menggunakan pisau serta menghalang mereka daripada menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan khianat dengan membunuh haiwan.

BBerkaitan

Latest articles