KUALA LUMPUR: Seramai lebih 14.2 juta daripada 16.7 juta penerima BUDI Madani RON95 (BUDI95) telah menikmati subsidi petrol bersasar itu dengan jumlah penggunaan melebihi 13.4 bilion liter setakat ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga RON95 tanpa subsidi yang berubah mengikut harga pasaran hanya dikenakan kepada pengguna yang tidak layak menerima subsidi, termasuk bukan warganegara serta individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan di bawah skim BUDI95.
Beliau berkata, berdasarkan data penggunaan sebenar bagi tempoh Oktober 2025 hingga Jun 2026, majoriti penerima menggunakan petrol jauh di bawah had yang ditetapkan.
“Kurang daripada satu peratus pengguna BUDI95 menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten, manakala penggunaan purata adalah sekitar 100 liter sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Bobbey Ah Fang Bin Suan pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Amir Hamzah berkata, data tersebut menunjukkan sebahagian besar rakyat yang layak menerima subsidi tidak menggunakan petrol dalam kuantiti yang tinggi, sekali gus menyokong pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 itu bertujuan memastikan perbelanjaan kerajaan lebih cekap, selain mengurangkan ketirisan subsidi kepada golongan yang tidak layak tanpa menjejaskan kebajikan majoriti pengguna tempatan.










