Jangan Selektif Isu Anjing Liar, Selangor Seimbang Keselamatan Rakyat, Kebajikan Haiwan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menegaskan pendekatannya dalam menangani isu anjing liar tidak memihak kepada mana-mana pihak, sebaliknya menitikberatkan keseimbangan antara keselamatan awam dan kebajikan haiwan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan terhadap anjing liar akan terus dilaksanakan secara berterusan, namun ia perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak serta kemaslahatan umum.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dalam soal keselamatan rakyat, termasuk menangani ancaman anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan.

“Tindakan memang diambil secara berterusan. Kita perlu memastikan keselamatan awam terpelihara dan pada masa sama menjaga aspek kebajikan haiwan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Himpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri lebih mengutamakan kebajikan haiwan berbanding keselamatan mangsa serangan anjing liar, Amirudin menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai tidak adil dan bersifat selektif.

Katanya, isu keselamatan rakyat turut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, namun terdapat pihak yang hanya memfokuskan kepada kritikan terhadap tindakan kerajaan negeri.

“Yang penting ialah mencari titik keseimbangan. Kita perlu bertindak bagi mengelakkan kejadian anjing berkeliaran yang boleh mengancam keselamatan orang ramai, tetapi dalam masa sama memastikan tindakan diambil mengikut lunas yang sewajarnya.

“Jadi, jangan selektif membuat tuduhan terhadap isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kebajikan haiwan juga tidak boleh dipandang ringan kerana perkara tersebut turut mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang mahu individu menganiaya haiwan dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

“Jangan marah apabila ada pihak yang prihatin terhadap kebajikan haiwan kerana pada masa sama kita juga menjaga kebajikan manusia,” katanya.

Sebelum ini, operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Teluk Gedung Indah menjadi tular selepas berlaku kekecohan apabila seekor anjing mati ketika operasi dijalankan. Insiden itu kini dalam siasatan polis.

BBerkaitan

Latest articles