KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa sekumpulan pelarian Rohingya yang berhimpun di luar pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) baru-baru ini ditahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menegaskan tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadap kumpulan berkenaan, sebaliknya mereka hanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi tujuan pemeriksaan dan dokumentasi sebelum dibebaskan.
Menurut beliau, penjelasan itu dibuat bagi memperbetulkan laporan sebuah media antarabangsa yang mendakwa kumpulan pelarian terbabit ditahan selepas tiba di ibu negara dengan menaiki bas susulan diarahkan keluar dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
“Tiada tangkapan dibuat. Mereka hanya diperiksa dan dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi sebelum dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, pada 29 Julai lalu, Fadil memaklumkan kumpulan pelarian Rohingya berkenaan dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri yang telah ditetapkan menerusi penyelarasan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UNHCR.
Isu pelarian Rohingya kembali menjadi perhatian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan bahawa kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Malaysia, hasil rundingan serta hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara.
Mengikut rekod UNHCR, sehingga penghujung Februari lalu, kira-kira 126,000 pelarian Rohingya berdaftar berada di Malaysia.










