DAP N. Sembilan, Selangor Sepakat Pertahan Kepimpinan Loke Walaupun Tewas Di Chennah

SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan dan DAP Selangor menyatakan sokongan penuh agar Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke Siew Fook, terus menerajui kepimpinan di peringkat negeri dan nasional meskipun beliau mengalami kekalahan mengejut di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Kedua-dua negeri berpendirian bahawa kekalahan di Chennah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertikaikan kredibiliti atau kepimpinan Loke, sebaliknya menegaskan pengalaman dan rekod beliau masih diperlukan bagi menghadapi cabaran politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin, berkata Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan sebulat suara menyokong Loke untuk terus mengetuai parti di negeri itu.

Menurutnya, kepimpinan Loke telah terbukti membawa perubahan besar kepada DAP Negeri Sembilan sejak dua dekad lalu sehingga berjaya meletakkan parti itu sebagai antara kuasa politik yang disegani.

“Daripada hanya memiliki dua kerusi pada tahun 2004, kepimpinan beliau berjaya mengangkat DAP Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati oleh kawan dan lawan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Cha yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, parti memerlukan pengalaman dan kepimpinan Loke bagi menyusun strategi baharu selepas Pakatan Harapan (PH) kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, analisis awal keputusan PRN turut menunjukkan calon PH dan DAP masih menerima sokongan kukuh daripada penyokong tradisi walaupun berdepan kempen yang disifatkan sarat dengan retorik perkauman daripada pihak lawan.

Dalam PRN kali ini, DAP berjaya mempertahankan sembilan daripada 11 kerusi yang dimenanginya sebelum ini, namun kehilangan DUN Chennah dan Repah kepada MCA.

Kekalahan Loke di Chennah menjadi antara keputusan paling mengejutkan apabila beliau yang menyandang kerusi itu sejak 2013 tewas kepada calon MCA, Siow Kong Choon, dengan majoriti 688 undi.

Secara keseluruhan, PH turut menyaksikan kemerosotan prestasi apabila hanya memenangi 13 kerusi, berbanding 17 kerusi pada PRN lalu. Daripada jumlah itu, DAP memperoleh sembilan kerusi manakala PKR menang empat kerusi, sementara Amanah gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han, turut menzahirkan sokongan terhadap Loke dan menegaskan kepimpinan beliau masih penting untuk memastikan kestabilan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PH.

Beliau berkata, DAP Selangor akan terus bekerjasama rapat dengan DAP Negeri Sembilan dan kepimpinan pusat bagi meneliti keputusan PRN serta mengenal pasti langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

Ng turut memuji tindakan Loke yang memilih untuk mempertahankan sendiri kerusi Chennah, menyifatkannya sebagai bukti seorang pemimpin sanggup memikul tanggungjawab dan berdepan cabaran secara langsung.

“Loke memperlihatkan kewibawaan seorang pemimpin apabila beliau sendiri turun mempertahankan DUN Chennah. Semangat tanggungjawab seperti itu wajar dihargai,” katanya dalam satu kenyataan.

BBerkaitan

Latest articles