SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup tirai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan mempertahankan rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan, selain menepis dakwaan kononnya kerajaan yang dipimpinnya mengabaikan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pelbagai isu yang membelenggu negara ketika ini, termasuk kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda, adalah legasi pentadbiran terdahulu yang terpaksa dipulihkan oleh kerajaan sedia ada.
Menurut beliau, kerajaan mewarisi beban kewangan TH yang mencecah RM10 bilion, selain hutang Felda sebanyak RM10 bilion yang menyebabkan kerajaan perlu menanggung hampir RM1 bilion setahun bagi bayaran berkaitan.
“Ini bukan soal hendak menyalahkan sesiapa, tetapi ia adalah fakta yang diketahui oleh mereka dalam industri. Kerugian itu bukan berpunca daripada peneroka Felda atau pekerja ladang kerana mereka bekerja keras dan pengurusan di peringkat itu berjalan dengan baik,” katanya ketika berucap pada ceramah penutup kempen PRN Negeri Sembilan.
Dalam ucapannya, Anwar turut menolak tuduhan pihak tertentu yang mendakwa beliau lebih mengutamakan kaum lain berbanding orang Melayu.
Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Melayu dan umat Islam, termasuk mewartakan 50 ekar tanah bandar bernilai tinggi sebagai Tanah Rizab Melayu, yang disifatkannya sebagai langkah pertama seumpamanya sejak negara mencapai kemerdekaan.
Selain itu, katanya, kerajaan turut menyalurkan peruntukan RM1 bilion kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memperkukuh agenda pembangunan Islam di negara ini.
Anwar berkata, sepanjang lebih tiga tahun setengah menerajui kerajaan, beliau tidak pernah berdepan bantahan daripada mana-mana anggota Jemaah Menteri terhadap usaha memperkasakan program berkaitan Islam dan kepentingan orang Melayu.
“Menteri daripada UMNO, PKR, Amanah, DAP serta wakil Sabah dan Sarawak sentiasa memberikan sokongan. Tidak pernah sekali pun ada bantahan apabila perkara berkaitan Islam atau Melayu dibawa ke mesyuarat Kabinet,” katanya.
Pada masa sama, beliau mempertahankan bantuan yang disalurkan kepada masyarakat Cina dan India daripada golongan berpendapatan rendah dengan menjelaskan ia tidak menjejaskan usaha memperkukuh kedudukan orang Melayu.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada masyarakat India menerusi Mitra dan Tekun, selain menyediakan lebih RM30 juta dalam bentuk pembiayaan melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Amanah Ikhtiar Malaysia bagi membantu golongan miskin dalam kalangan masyarakat India dan Cina.
Mengulas isu kos sara hidup, Anwar berkata kerajaan terus mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter yang disifatkannya antara paling rendah di dunia hasil subsidi kerajaan berjumlah antara RM40 bilion hingga RM45 bilion setiap tahun.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan RM16 bilion bagi pelaksanaan program bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk meringankan beban rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penstrukturan semula sistem gaji penjawat awam dilaksanakan dengan memberi kenaikan lebih tinggi kepada kumpulan berpendapatan rendah berbanding pegawai kanan.
Beliau turut mengingatkan bahawa anggota pentadbiran kerajaan, termasuk menteri dan timbalan menteri, telah menerima pemotongan gaji sebanyak 20 peratus sebagai tanda keutamaan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, meskipun negara berdepan tekanan ekonomi susulan konflik di Asia Barat.










