JEMPOL: Jemaah Menteri bersetuju memperluaskan skop siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) dengan melanjutkan tempoh kajian sehingga merangkumi era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
Menurut beliau, Kabinet bersetuju agar tempoh siasatan tidak dihadkan sehingga tahun 2020 sahaja, sebaliknya diperluaskan bagi meliputi pentadbiran PH 1.0 dan PN 1.0.
“Kerajaan mengambil pendekatan lebih terbuka supaya usaha memulihkan institusi Tabung Haji dapat dilaksanakan secara komprehensif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kesemua lapan menteri Barisan Nasional (BN) dalam Jemaah Menteri turut menyokong penuh tindakan meneruskan siasatan secara telus sekiranya terdapat unsur penyelewengan, pecah amanah, pengubahan wang haram atau kesalahan jenayah lain yang menyebabkan kerugian kepada Tabung Haji.
Beliau menegaskan, mana-mana individu yang didapati terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kabinet turut bersetuju supaya Laporan RCI berhubung Tabung Haji dibentangkan di Parlimen pada 11 Ogos bagi membolehkan ia diteliti secara terbuka.










