PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan Majlis Peguam terhadap penolakan permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Lim Chong Fong berkata mahkamah memerlukan masa untuk meneliti hujahan semua pihak sebelum menetapkan 7 Ogos depan bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh keputusan akan disampaikan.
Turut bersidang ialah Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Leonard David Shim.
Terdahulu, mahkamah mendengar hujahan Datuk Yeo Yang Poh dan Zainur Zakaria mewakili Majlis Peguam, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi bagi pihak Peguam Negara, serta Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Dalam hujahnya, Majlis Peguam menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan boleh disemak oleh mahkamah kerana permohonan itu bukan bertujuan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh lembaga berkenaan. Mereka turut memohon agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar secara substantif.
Bagaimanapun, pihak Peguam Negara berhujah bahawa kuasa prerogatif pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman, justeru proses yang membawa kepada keputusan pengampunan juga tidak boleh dicabar di mahkamah. Hujah itu turut disokong oleh pihak pembelaan Najib.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.
Majlis Peguam sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.
Mereka memohon deklarasi bahawa keputusan pada 29 Januari lalu yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta adalah tidak sah, tidak berperlembagaan serta terbatal.
Keputusan itu turut menetapkan Najib layak dibebaskan lebih awal pada 23 Ogos 2028, manakala sekiranya gagal menjelaskan denda RM50 juta, tempoh penjaranya akan dilanjutkan setahun sehingga 23 Ogos 2029.
Najib, 73, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau mengemukakan petisyen pengampunan diraja pada September 2022 sebelum Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara dan dendanya.










