SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) yakin mampu mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keyakinan itu disandarkan kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri serta sokongan yang diterima sepanjang tempoh berkempen.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, seluruh jentera parti terus bekerja tanpa henti sehingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan sokongan rakyat diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian.
Menurutnya, kerjasama dalam kalangan jentera di semua peringkat berjalan dengan baik, sekali gus memberi keyakinan kepada PH untuk terus diberi mandat mentadbir negeri itu.
“Kita yakin PH akan terus diberi mandat dan mencapai kemenangan. Namun, kita tidak sesekali memandang ringan cabaran daripada pihak lawan.
“Seluruh jentera masih bekerja hingga saat akhir bagi memastikan segala usaha diterjemahkan kepada sokongan di peti undi. Insya-Allah, kita yakin dapat mencapai kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, hari ini.
Mengulas persiapan menjelang hari pengundian, Anwar berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan proses pengundian berlangsung dalam suasana aman, lancar dan terkawal dengan kerjasama semua pihak.
Katanya, usaha mendekati pengundi diteruskan sehingga tamat tempoh berkempen sebelum tumpuan beralih kepada kelancaran proses pengundian.
Ditanya mengenai sasaran kerusi yang dijangka dimenangi PH, Anwar enggan membuat sebarang ramalan dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi.
“Itu terserah kepada keputusan pengundi. Soal jumlah kerusi, itu kena tanya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun,” katanya berseloroh.
Sebelum ini, Anwar menegaskan keputusan pilihan raya tidak boleh ditentukan berdasarkan kajian atau ramalan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada pilihan rakyat yang keluar mengundi.
PRN Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan pengundian dijadual berlangsung esok.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan keputusan awal dijangka mula diperoleh sekitar jam 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka diketahui menjelang tengah malam.










