AGC Teliti Segera Laporan RCI Tabung Haji, Tak Tolak Tindakan Pendakwaan Jika Ada Pelanggaran Undang-Undang

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti dengan segera Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020, susulan pendedahan laporan itu kepada umum.

Dalam kenyataan pada Khamis, AGC memaklumkan penelitian tersebut bertujuan memastikan semua aspek siasatan oleh agensi penguat kuasa dapat dilaksanakan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan berkaitan tindakan undang-undang dibuat.

Menurut jabatan itu, proses berkenaan penting bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh membawa kepada pendakwaan.

AGC menegaskan setiap tindakan yang diambil adalah selaras dengan tanggungjawab Perlembagaannya untuk memastikan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang serta berpandukan bukti yang mencukupi.

“Sebarang keputusan pendakwaan, sekiranya perlu, akan dibuat berasaskan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima di mahkamah tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, AGC menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan RCI TH kepada orang ramai dan memaklumkan pihaknya memandang serius segala penemuan berkaitan aspek pengurusan, pelaburan serta dakwaan salah laku yang terkandung dalam laporan tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu proses siasatan serta menjejaskan keyakinan terhadap kewibawaan dan peranan TH yang beroperasi di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Semalam, laporan penuh RCI TH dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang antara lain mengesyorkan audit forensik dijalankan bagi menyiasat proses membuat keputusan pelaburan terdahulu yang didakwa menyumbang kepada penyusutan ketara nilai aset TH.

Laporan itu turut mengenal pasti beberapa pelaburan bermasalah yang disyorkan menjalani audit forensik, selain mendedahkan kewujudan transaksi mencurigakan serta dakwaan penyembunyian maklumat yang dipercayai berlaku sepanjang tempoh siasatan.

BBerkaitan

Latest articles