BESTARI JAYA: Selangor terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab inovasi aeroangkasa apabila memperkenalkan DronePort-1000, sebuah pusat ujian dan penilaian teknologi dron yang dijangka menjadi antara kemudahan terbesar seumpamanya di negara ini.
Inisiatif yang diumumkan sempena majlis pra-pelancaran DronePort-1000 di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn Bhd (SELATI) dan UNISEL.
Pusat berkenaan dibangunkan khusus bagi menyokong pembangunan Ekonomi Ruang Udara Rendah (Low Altitude Economy – LAE), sekali gus memanfaatkan penggunaan ruang udara di bawah ketinggian 1,000 meter untuk aplikasi teknologi dron.
Kerajaan negeri berkata, pembangunan DronePort-1000 selari dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
Exco Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital dan Sains, Teknologi serta Inovasi (STI) Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, DronePort-1000 bakal muncul sebagai pusat pengujian dron terbesar di Malaysia apabila beroperasi sepenuhnya.
Menurut beliau, fasiliti itu menyediakan ruang udara seluas 24 kilometer persegi dengan had ketinggian sehingga 1,000 meter yang telah diuji dan bakal menerima kelulusan khas daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“DronePort-1000 akan menjadi pusat penting dalam melengkapkan ekosistem pembangunan industri dron di Selangor. Kemudahan ini membolehkan pelbagai aktiviti pengujian dan pembangunan teknologi dijalankan dalam kawasan yang selamat serta diiktiraf,” katanya.
Bagi mempercepat pembangunan ekosistem tersebut, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan awal sebanyak RM500,000 bagi tahun hadapan.
Dana itu akan digunakan untuk meningkatkan kemudahan sedia ada selain menyediakan program geran padanan bagi menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan industri dron.
Dr Fahmi berkata, penggunaan dron bersama teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu kerajaan menangani pelbagai cabaran di Selangor, termasuk pemantauan pencerobohan hutan simpan, hakisan pantai, kebocoran ban serta pencemaran sungai.
Beliau berkata, pembangunan DronePort-1000 bukan sahaja memperkukuh ekosistem teknologi negeri, malah dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, penyelidikan dan pembangunan bakat dalam industri aeroangkasa serta mobiliti masa hadapan.










