Zaid Bidas PMX Isu Felda, Tabung Haji Menjelang PRN Negeri Sembilan

​KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ahli baharu Pas, Datuk Zaid Ibrahim membidas tindakan Perdana Menteri yang didakwa sengaja membangkitkan pelbagai isu berhubung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Tabung Haji beberapa hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.

​Zaid mempersoalkan rasional tindakan berkenaan yang seolah-olah menggambarkan pentadbiran terdahulu sebagai korup, sedangkan mereka pernah bekerjasama dalam kerajaan sebelum ini.

​”Jika mereka begitu korup, mengapa anda bertolak rasa dengan mereka dalam kerajaan anda sepanjang tiga tahun lalu?

​”Apabila anda menggambarkan kesukaran yang dialami Felda dan Tabung Haji berpunca daripada salah urus serta memberi amaran pihak bertanggungjawab akan dipenjarakan, tidakkah anda terfikir terdapat teknokrat berwibawa yang telah berkhidmat sehabis baik?” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

​Menurut bekas peguam itu, tindakan menyapu rata semua pihak yang pernah berkhidmat di agensi berkenaan adalah tidak adil buat tokoh dan teknokrat yang langsung tidak terlibat dengan sebarang salah guna kuasa atau agenda politik.

​Dalam pada itu, Zaid turut mengemukakan beberapa persoalan berhubung tindakan penguatkuasaan undang-undang yang didakwanya memperlihatkan perbezaan ketara dalam beberapa kes berprofil tinggi.

​Antaranya, beliau menyentuh mengenai kes skim penipuan MBI yang didakwanya mencatatkan kerugian berbilion ringgit serta kes melibatkan individu seperti Nicky Low.

​Mengulas lanjut, Zaid menegaskan kepentingan penyatuan masyarakat dalam mendepani isu-isu salah guna kuasa dan jenayah terancang di negara ini.

​”Sebab itu kita memerlukan perpaduan Melayu untuk menggerakkan sokongan awam bagi menentang jenayah terancang.

​”Pada fasa seterusnya, kita akan menyatukan seluruh rakyat Malaysia bagi membebaskan negara ini daripada ancaman berkenaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles