KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan beliau bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa mahu membuka semula siasatan berhubung dakwaan salah laku yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Menurutnya, beliau tidak pernah gentar untuk disiasat kerana yakin tidak melakukan sebarang penyelewengan sepanjang menerajui TH, sambil menolak dakwaan kononnya beliau terbabit dalam salah guna kuasa atau “menyapu” wang institusi berkenaan.
“Kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama yang akan beri kerjasama sepenuhnya. Kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang tuduhan ‘sakau’ semata-mata demi kepentingan politik,” katanya ketika membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias di Taman Simpang Pertang, hari ini.
Dalam masa sama, Azeez mempersoalkan tindakan kerajaan mendedahkan laporan RCI itu ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sedangkan laporan setebal 204 muka surat berkenaan telah siap sejak pertengahan 2022 dan dibentangkan dalam beberapa mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau berkata, hanya Perdana Menteri mengetahui sebab laporan itu tidak didedahkan lebih awal walaupun RCI sendiri membenarkan ia diterbitkan kepada umum.
“Dua minggu lalu saya bertanya kepada polis dan dimaklumkan fail siasatan sudah dikemas untuk disimpan, hanya menunggu arahan ‘No Further Action’ (NFA),” katanya.
Azeez turut mendedahkan bahawa pada 2021, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Tan Sri Azam Baki, telah mengeluarkan surat rasmi yang menyatakan tiada unsur salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan dalam siasatan terhadapnya.
Katanya, beliau juga telah dipanggil sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan forensik, selain pernah ditahan selama 14 malam dalam lokap selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
“Kalau benar saya ‘sakau’, sudah tentu saya telah dipenjarakan ketika itu. Semua siasatan termasuk audit forensik telah dijalankan,” katanya.
Beliau turut mengimbas bahawa pernah menggesa kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan berkaitan TH, selain mengulangi permintaan sama kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun tidak mendapat perhatian.
Menurut Azeez, tindakannya sendiri meminta RCI diwujudkan membuktikan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
Mengulas dakwaan beliau bertanggungjawab terhadap keputusan pelaburan TH, Azeez menjelaskan kapasiti beliau ketika itu hanyalah sebagai pengerusi bukan eksekutif dan tidak mempunyai kuasa mutlak meluluskan sebarang transaksi.
Sebaliknya, katanya, setiap cadangan pelaburan perlu melalui proses penilaian yang ketat membabitkan panel pelaburan, pengurusan risiko dan pengurusan tertinggi sebelum dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.
“Rakyat perlu tahu proses sebenar. Saya bukan pengerusi eksekutif yang boleh membuat keputusan bersendirian,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta kerajaan tidak menafikan sumbangan dan rekod pencapaian UMNO serta Barisan Nasional dalam membangunkan TH sejak penubuhannya.
Menurutnya, sepanjang 15 tahun berturut-turut termasuk tujuh tahun ketika beliau mempengerusikan TH, institusi itu diiktiraf sebagai antara pengurusan haji terbaik dunia serta berjaya menguruskan lebih 1.4 juta jemaah haji Malaysia.
“Mereka hari ini hanya meneruskan dan memperkukuhkan sistem yang telah dibina. Jangan pula menafikan segala usaha serta pencapaian yang telah kami tinggalkan,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat dan pendeposit TH membaca sendiri laporan penuh RCI supaya dapat membuat penilaian berdasarkan fakta, bukannya dipengaruhi persepsi atau sentimen politik.
RCI Tabung Haji ditubuhkan pada 2021 bagi menyiasat aspek pengurusan, operasi serta pengendalian aset TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan kebimbangan terhadap tadbir urus dan kedudukan kewangan institusi itu.
Laporan akhir suruhanjaya berkenaan disiapkan pada Julai 2022.










