KUANTAN, — Kerajaan Negeri Pahang mengesan kegiatan satu sindiket penipuan yang menawarkan urusan pemberimilikan tanah milik kerajaan di daerah Bentong dengan memperdaya orang ramai supaya membuat bayaran dan menandatangani dokumen sebelum sebarang proses rasmi dilaksanakan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat untuk menguruskan pemberimilikan tanah kerajaan di luar prosedur yang ditetapkan undang-undang.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama Kerajaan Negeri, sambil memberi amaran bahawa tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terlibat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau menjalankan urusan berkaitan tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
Wan Rosdy turut meminta mana-mana individu yang merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang.
“Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.










