Loke ‘Diserang’ Isu MB N. Sembilan, Dakwa Fitnah Disebar Untuk Takutkan Pengundi Melayu

SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa dirinya menjadi sasaran serangan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk dakwaan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah itu berkata, tuduhan berkenaan disifatkannya sebagai usaha pihak tertentu untuk mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengundi, khususnya masyarakat Melayu.

Menurut beliau, pelbagai dakwaan dilemparkan di kawasan kampung termasuk naratif bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa jika PH menang, selain tuduhan kononnya beliau cuba mencampuri urusan adat dan institusi diraja Negeri Sembilan.

“Sejak beberapa minggu ini, saya menjadi sasaran pelbagai tohmahan dan fitnah yang disebarkan secara meluas.

“Ada yang menuduh saya mahu mengganggu sistem adat dan menggugat institusi diraja, tetapi kita memilih untuk terus bersabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX DUN Chennah di Simpang Durian.

Loke berkata, dakwaan bahawa beliau bakal menjadi Menteri Besar turut disifatkan sebagai naratif yang sengaja dimainkan oleh pihak lawan bagi menjejaskan sokongan terhadap PH.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada Loke akan dinamakan sebagai calon Menteri Besar PH sekiranya penyandangnya, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal mempertahankan kedudukan pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, Loke menegaskan PH kekal dengan pendirian bahawa Aminuddin adalah satu-satunya calon Menteri Besar yang diketengahkan gabungan itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa dakwaan dirinya boleh menduduki jawatan tersebut tidak berasas kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan Menteri Besar mestilah seorang ADUN Melayu beragama Islam.

Katanya, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan bahan kempen untuk menimbulkan keresahan rakyat, sebaliknya pengundi perlu menilai kemampuan calon serta rekod pentadbiran yang ditawarkan.

BBerkaitan

Latest articles