PRN Sebagai Referendum Kerajaan Pusat, Hamzah Ajak Pengundi Turunkan Anwar

​SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) menggesa pengundi di Negeri Sembilan agar menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai ‘referendum’ rakyat bagi menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, maklum balas dan rasa tidak puas hati rakyat di peringkat akar umbi terhadap pentadbiran Kerajaan Persekutuan kini semakin meningkat.

​”Hari-hari engkau turun ke Negeri Sembilan, engkau turun tak ada cerita lain… Hari ini cakap lain, besok cakap lain. Akhirnya rakyat kata macam-macam.

​”Yang saya kata adalah Anwar Ibrahim tak patut jadi Perdana Menteri. Kita bangun, kita buktikan bahawa undi kita adalah untuk kita pastikan referendum rakyat untuk kita turunkan Anwar Ibrahim, tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

​Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan gabungan itu komited untuk membawa pentadbiran yang berteraskan keadilan sosial serta saksama tanpa mengira latar belakang kaum.

​Jelasnya, tumpuan utama PN adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi, jaminan kebajikan rakyat serta kedaulatan undang-undang yang saksama.

​”Kita nak pastikan supaya apa yang kita lakukan ini adalah sesuatu yang memberi kemanusiaan. Kita mahu supaya semua rakyat percaya dengan undang-undang negara kita,” katanya.

​Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

BBerkaitan

Latest articles