“Yang Kau Pecat Aku Kenapa?” – Hamzah Bidas Bekas Parti

SEREMBAN: Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin tampil membidas bekas partinya, Bersatu, dengan mempersoalkan tindakan memecat beliau sebelum ini yang akhirnya mendorongnya menubuhkan wadah politik baharu.

Hamzah berkata, beliau hairan apabila isu berkaitan dirinya terus menjadi bahan serangan dalam kempen politik, sedangkan pihak lawan sepatutnya lebih banyak menawarkan penyelesaian kepada rakyat.

Menurut beliau, tuduhan kononnya beliau mempunyai agenda tertentu hanya timbul selepas beliau memilih untuk membina platform politik baharu.

“Tak ada kena-mengena dengan saya. Saya tengok kempen bukan nak betulkan apa yang kerajaan lakukan, tetapi hanya mahu bercakap tentang Hamzah.

“Hamzah buat grand design, Hamzah buat macam-macam. La ilaha illallah… yang kau pecat aku kenapa? Takkan aku tak boleh tubuhkan parti?” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban, malam tadi.

Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu berkata, keputusan untuk menubuhkan parti baharu adalah hak politiknya selepas tidak lagi bersama parti berkenaan.

“Kalau aku sudah tubuhkan parti, apa yang kau nak takutkan?” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut menyindir keadaan dalaman Bersatu yang didakwanya berdepan masalah sehingga menjejaskan urusan pentadbiran parti.

Beliau mendakwa parti itu kini berdepan kesukaran untuk menjalankan mesyuarat kerana tidak mencapai jumlah kehadiran yang diperlukan.

“Mungkin sebab mereka, nak mesyuarat Majlis Tertinggi pun sudah tidak cukup kuorum. Kepada rakyat Negeri Sembilan, jangan undi pasukan macam ini.

“Kalau mesyuarat tertinggi pun tidak boleh berjalan dengan baik, bagaimana mahu mentadbir negeri?” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah menegaskan perjuangan parti yang dipimpinnya kini memberi tumpuan kepada isu rakyat termasuk pengukuhan ekonomi, jaminan bekalan makanan serta memastikan peluang yang adil diberikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

BBerkaitan

Latest articles