LABU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut cabaran pihak tertentu supaya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) didedahkan, sambil menegaskan tiada siapa akan dilindungi jika terbukti menyalahgunakan amanah rakyat.
Anwar berkata, desakan supaya laporan itu dibuka kepada umum menjadi peluang terbaik untuk kerajaan memastikan isu pengurusan TH diteliti secara menyeluruh.
“Belum sempat kita memberikan cadangan untuk menyebarkan laporan itu, ada orang cabar, kalau berani bongkar.
“Saya kata terima kasih. Pucuk dicita, ulam mendatang. Itu yang kita harapkan,” katanya ketika berucap pada program kempen Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, laporan RCI itu perlu dibaca sendiri oleh rakyat kerana ia melibatkan sebuah institusi penting yang menghimpunkan simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Anwar mendakwa laporan berkenaan mendedahkan isu salah urus dan pelaburan bermasalah yang menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM12 bilion.
“Ini bukan masalah Cina, bukan masalah DAP. Ini masalah Melayu, masalah Tabung Haji.
“Orang hendak pergi haji, kumpul duit bertahun-tahun, tetapi kalau wang itu disalah urus, ia melibatkan amanah rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan meneliti laporan berkenaan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur pelanggaran undang-undang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan membuat sebarang tuduhan awal terhadap mana-mana individu sebelum siasatan lengkap dilakukan.
“Saya tidak kata siapa salah kerana saya tidak tahu. Biar siasatan berjalan. Tetapi bongkar semuanya sekali.
“Kalau ada yang mengambil wang rakyat atau menyalahgunakan kuasa, jangan lindungi mereka,” katanya.
Menjawab persoalan mengapa laporan RCI tidak didedahkan sebaik kerajaan pimpinan beliau mengambil alih pentadbiran pada 2022, Anwar berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira keadaan kewangan TH ketika itu.
Katanya, pengurusan TH sebelum ini memohon supaya proses pemulihan dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengelakkan keyakinan pendeposit terjejas.
“Kalau laporan dikeluarkan terlalu awal sebelum perubahan dibuat, orang mungkin hilang keyakinan dan mengeluarkan wang. Keadaan Tabung Haji boleh menjadi lebih buruk.
“Sebab itu kita pulihkan dahulu, selepas lebih stabil kita dedahkan,” katanya.
Anwar turut menegaskan pendedahan RCI bukan bertujuan melakukan serangan politik, sebaliknya memastikan institusi umat Islam ditadbir dengan amanah dan tidak disalahgunakan.
Beliau berkata pengalaman lalu yang menyaksikan dirinya pernah dipukul, dihina dan dipenjarakan menjadi peringatan supaya beliau tidak mengkhianati amanah selepas diberi tanggungjawab memimpin negara.
“Saya mahu jaga amanah ini supaya rakyat tidak menyesal mempertahankan orang seperti saya.
“Jangan curi duit negara. Orang mahu maki tidak mengapa, yang penting kita bekerja dan menjaga amanah,” katanya.
Dalam isu sama, Anwar turut membangkitkan kemelut kewangan Felda dengan menyatakan kerajaan perlu menanggung hampir RM980 juta setahun bagi memastikan peneroka tidak terbeban akibat keputusan pengurusan terdahulu.
Beliau menegaskan institusi berkaitan orang Melayu dan Islam perlu dipelihara melalui tadbir urus yang baik, bukan sekadar dijadikan bahan retorik politik.
“Kalau benar mahu mempertahankan Melayu dan Islam, jangan rosakkan institusi umat Islam dan jangan khianati amanah rakyat,” katanya.










