Md Alwi Seru Penyatuan Ummah, Mahu Persaingan Politik Sihat

​SEREMBAN: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad menyeru agar penyatuan politik dan persaudaraan terus dikekalkan demi kestabilan agama, bangsa dan negara, tanpa terpengaruh dengan pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan tersebut.

​Beliau berkata, proses pilihan raya seharusnya dianggap sebagai persaingan sihat ibarat acara sukan dan tidak perlu mencetuskan emosi keterlaluan sehingga merosakkan keharmonian sesama masyarakat.

​”Pilihan raya ini ibarat sukan di sekolah sahaja. Ada pelbagai ‘rumah sukan’ yang bertanding secara sihat. Selepas pertandingan selesai, tidak perlu ada sikap marah-marah atau emosi (‘koyak’) sehingga mencaci rakyat dan pimpinan lain.

​”Kita sebagai pemimpin perlu bersikap matang dan mengimbangi kedudukan bangsa serta ekonomi negara berdasarkan prinsip keadilan dan ‘mizan’ (keseimbangan),” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di sini malam tadi.

​Md Alwi turut mengingatkan semua pihak agar perselisihan lalu dijadikan iktibar dan penyatuan yang dibina tidak diganggu oleh hasutan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

​”Jangan biarkan bisikan atau hasutan yang membawa kepentingan diri merosakkan haluan penyatuan ini.

“Apa yang penting ialah konsistensi (istiqamah) dalam perjuangan demi kebaikan rakyat dan negara secara berterusan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles