Rohingya Tidak Boleh Ganggu Ketenteraman, Myanmar Setuju Terima Pulang 5,000 Pelarian

JELEBU: Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelarian Rohingya yang mencetuskan gangguan ketenteraman awam, ketika Malaysia berjaya mencapai persetujuan diplomatik dengan Myanmar untuk menerima semula 5,000 pelarian yang berada di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai hasil hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Myanmar, sekali gus menjadi langkah awal ke arah penyelesaian isu pelarian Rohingya yang berlarutan sejak sekian lama.

Menurut beliau, kejayaan rundingan itu membuktikan isu berkenaan tidak boleh diselesaikan hanya dengan gesaan supaya pelarian dihantar pulang tanpa persetujuan negara asal.

“Orang kata ‘hantar balik, hantar balik’. Nak hantar balik ke mana? Myanmar tidak mahu terima.

“Itu sebabnya hubungan baik dengan Myanmar penting. Sekarang ini mereka setuju ambil 5,000 orang dahulu,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama PMX di Simpang Durian, hari ini.

Anwar berkata, Myanmar turut bersetuju menerima semula kira-kira 300,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Bangladesh sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menangani krisis tersebut.

Beliau berkata, Malaysia akan terus berunding dengan Myanmar bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang memberi kesan kepada beberapa negara di rantau ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan pelarian Rohingya yang mengganggu keamanan dan kehidupan masyarakat tempatan.

“Saya sudah beri amaran dan saya juga sudah arahkan kepada polis. Saya tidak mahu Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam. Ini Malaysia, tak boleh dia ganggu kita.

“Jadi polis akan ambil tindakan, pindahkan dia. Kita cegah.

“Sebab itu saya beritahu kepada orang Rohingya, duduk baik-baik, kita sedia tempat asing. Kamu jangan ganggu perniagaan orang Malaysia, jangan ganggu lalu lintas dan tempat mereka duduk, nanti orang marah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara, walaupun kerajaan pada masa sama meneruskan usaha diplomatik untuk menyelesaikan isu pelarian secara berperingkat dan mengikut saluran antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles