SEREMBAN: Kerajaan bersetuju mendedahkan kepada umum laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH), selain mencadangkan supaya satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membentangkan hasil siasatan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu sebagai komitmen kerajaan untuk meningkatkan ketelusan serta membolehkan syor-syor RCI diteliti secara terbuka.
“Tadi di dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita telah bersetuju agar laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Tabung Haji didedahkan kepada umum.
“Kami juga mencadangkan supaya satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Pendidikan Tinggi TVET Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)-MARA di Paroi, pada Rabu.
Menurut Zahid, kerajaan turut mencadangkan agar skop penelitian terhadap pengurusan TH diperluaskan melepasi tahun 2022 bagi menilai keberkesanan langkah-langkah pemulihan yang dilaksanakan selepas pengurusan baharu mengambil alih institusi itu.
Katanya, penelitian tersebut melibatkan usaha penstrukturan semula aset, pencairan aset serta inisiatif memperkukuh kedudukan kewangan TH bagi memastikan segala syor yang dikemukakan oleh RCI benar-benar diterjemahkan.
“Kita mahu melihat bahawa usaha-usaha pemulihan itu benar-benar telah dilaksanakan berdasarkan syor-syor yang dibuat oleh laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berharap syor-syor yang terkandung dalam laporan RCI dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi pelaburan TH sekali gus memberikan pulangan lebih baik kepada pendeposit.
Menurutnya, keuntungan yang lebih kukuh bukan sahaja berpotensi meningkatkan dividen atau bonus kepada pendeposit, malah boleh membantu mengurangkan beban kos menunaikan ibadah haji yang terus meningkat akibat kenaikan kos penerbangan, penginapan, pengendalian di Tanah Suci dan pelbagai perkhidmatan lain.
“Melalui keuntungan, dividen atau bonus yang akan diberikan kelak dengan pengurusan baharu, sebahagian daripada keuntungan itu boleh digunakan untuk membantu menampung kenaikan kos mengerjakan haji,” katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa pendedahan laporan RCI mungkin menjejaskan keyakinan pendeposit, Zahid menegaskan perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana TH kini berada di landasan pemulihan dengan portfolio pelaburan dan aliran tunai yang semakin kukuh.
Beliau mendedahkan laporan berkenaan sepatutnya diumumkan kira-kira tiga tahun lalu, namun ditangguhkan selepas pengurusan TH ketika itu memohon supaya ia tidak didedahkan kerana bimbang akan mencetuskan pengeluaran deposit secara besar-besaran.
“Saya tidak fikir ia akan menggusarkan pendeposit. Tabung Haji sedang menuju ke arah memantapkan portfolio pelaburannya dan kedudukan aliran tunainya.
“Laporan itu bukan bertujuan meluding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya menjadi asas penambahbaikan dan tidak seharusnya dipolitikkan,” katanya.
Dalam masa sama, Zahid berharap pendedahan laporan RCI tersebut tidak dimanipulasi untuk kepentingan politik meskipun ia dibuat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.










