Asyraf Wajdi: TVET Kini Pilihan Utama, Bukan Lagi Laluan Kedua Untuk Belia

SEREMBAN: Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) kini muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan anak muda, hasil pelaksanaan dasar dan pembaharuan yang mengangkat martabat laluan pendidikan berkenaan.

Beliau berkata, perubahan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh perancangan strategik kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dengan lebih ramai tenaga kerja mahir, sebagaimana negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun.

“TVET bukan lagi pilihan kedua, ketiga atau terakhir. Hari ini TVET dilihat sebagai pilihan utama anak-anak muda kerana masa depannya semakin cerah dan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah TVET MARA di Paroi, hari ini.

Menurut beliau, antara pembaharuan terbesar ialah pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang kini diterima setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memenuhi syarat minimum memasuki alam pekerjaan.

Katanya, langkah itu telah meningkatkan kedudukan graduan TVET di pasaran pekerjaan serta membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada lepasan institusi kemahiran.

Asyraf berkata, permintaan industri terhadap graduan TVET semakin tinggi sehingga ramai pelajar menerima tawaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian.

Sebagai contoh, katanya, syarikat teknologi antarabangsa Samsung menawarkan kira-kira 700 peluang pekerjaan kepada graduan TVET MARA dengan gaji permulaan sekitar RM3,500 sebulan ketika Majlis Konvokesyen MARA baru-baru ini.

Selain itu, katanya, MARA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Schneider Electric dari Perancis yang menawarkan 70 peluang pekerjaan kepada graduan TVET dengan gaji permulaan RM4,500 sebulan.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan keyakinan industri terhadap kualiti serta kompetensi graduan yang dilahirkan oleh institusi pendidikan MARA.

Dalam pada itu, Asyraf memaklumkan daripada 345 institusi pendidikan MARA di seluruh negara, sebanyak 270 merupakan institusi yang memfokuskan kepada TVET.

Katanya, institusi berkenaan menawarkan lebih 400 bidang teknikal, kemahiran dan vokasional yang disusun mengikut keperluan semasa industri.

“Industri bukan lagi kita yang mencari mereka, sebaliknya industri datang mencari MARA untuk mendapatkan graduan-graduan kita,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang teknikal, MARA telah melaksanakan Program Jelajah TVET MARA di seluruh negara.

Menurutnya, program yang diadakan itu merupakan siri jelajah ke-137 melibatkan seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai pencetus kepada transformasi TVET negara melalui penubuhan Majlis TVET Negara dan pelbagai dasar yang memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal.

Beliau berkata, usaha berterusan kerajaan menyelaraskan latihan TVET dengan keperluan industri akan memastikan graduan mempunyai kebolehpasaran tinggi serta peluang kerjaya yang lebih baik pada masa depan.

BBerkaitan

Latest articles