SEREMBAN: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob optimis Barisan Nasional (BN) berada di landasan terbaik untuk mencatat keputusan memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, susulan momentum kempen yang disifatkannya semakin memihak kepada gabungan itu.
Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, keyakinan tersebut dibentuk hasil pemerhatiannya sepanjang turun padang berkempen, selain sambutan menggalakkan yang diterima daripada pengundi di beberapa kawasan.
Menurut beliau, suasana kempen kali ini jauh lebih positif berbanding pilihan raya sebelum ini dan memberi isyarat bahawa sokongan terhadap BN semakin meningkat.
“Dengan kerja keras seperti yang kita lihat hari ini, insya-Allah kita akan menang. Bukan sahaja YB Asna, malah di seluruh Negeri Sembilan.
“Saya percaya BN mampu memperoleh lebih banyak kerusi, lebih-lebih lagi dengan kerjasama PAS yang bersama kita kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program sarapan pagi bersama penduduk Kampung Gayan yang turut disertai calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Mohd Asna Mohd Amin.
Ismail Sabri turut menyifatkan semangat kerjasama yang dipamerkan pemimpin dan jentera parti sepanjang kempen sebagai petanda baik dalam usaha memperkukuh sokongan rakyat menjelang hari pengundian.
Katanya, kehadiran beberapa pemimpin dalam program kempen membuktikan komitmen semua pihak untuk memastikan BN terus mendekati pengundi secara menyeluruh.
“Saya berharap semangat kebersamaan dan kerjasama ini dapat dikekalkan sehingga hari pengundian,” katanya.
Beliau menegaskan, tumpuan utama ketika ini ialah memastikan jentera pilihan raya terus bekerja tanpa mengenal penat, memperhebat gerak kerja di lapangan serta bertemu seramai mungkin pengundi bagi mengekalkan momentum yang sedang dibina.
“Insya-Allah, jika usaha ini diteruskan secara konsisten, kita berharap dapat mencapai keputusan yang baik,” katanya.










