PRN Negeri Sembilan: PH, PN Dan Bersatu Semarakkan Kempen Kemuncak Malam Ini

​SEREMBAN: Suasana politik di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini semakin hangat, apabila gabungan parti politik terbesar negara dijadualkan menyemarakkan siri ceramah kemuncak secara serentak malam ini.

​Tumpuan pengundi-pengundi di negeri ini bakal terarah kepada tiga program rapat rakyat mega yang menampilkan barisan kepimpinan tertinggi parti masing-masing dalam usaha memancing undi pada saat akhir.

​Pakatan Harapan (PH) bakal mengadakan ‘Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan’ bermula 8 malam di Betaria Business Centre.

​Program kemuncak itu bakal menampilkan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. Turut dijadual hadir ialah Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.

​Jelajah tersebut turut memperkenalkan lima calon PH yang bertanding bagi kerusi Ampangan, Sikamat, Paroi, Klawang dan Lenggeng.

​Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) pula menganjurkan ‘Ceramah Mega Biru-kan Nismilan’ di Dewan Perdana KRS, pada 9 malam.

​Ceramah Mega itu bakal membariskan barisan kepimpinan utama merentasi pelbagai parti politik, antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; serta pemimpin Barisan Nasional (BN) seperti Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ahmad Maslan. Turut serta ialah Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Penyelaras Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin (Che GuBard), selain penampilan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

​Dalam pada itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak ketinggalan menggegar kawasan Labu menerusi ‘Rapat Rakyat Mega Labu’ di Kampung LBJ, Labu bermula jam 9.00 malam.

​Pentas politik Bersatu itu akan diterajui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diiringi Timbalan-Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr. Radzi Jidin, Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta calon N.20 Labu, Hanifah Abu Baker.

​Pertembungan ceramah gergasi secara serentak ini dijangka menghimpunkan ribuan penyokong malam ini, sekali gus menandakan fasa penutup paling sengit buat kesemua gabungan bertanding sebelum rakyat Negeri Sembilan membuat keputusan di pusat pembuangan undi Sabtu ini.

BBerkaitan

Latest articles