SHAH ALAM: Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) bakal menghentikan operasinya secara berperingkat menerusi penyusunan semula tapak pengeluaran perniagaan AVC syarikat, sebagai langkah strategik memperkukuh daya saing pasaran.
Langkah pengstrukturan ini menyaksikan kira-kira 400 pekerja dijangka terkesan menjelang akhir Mac 2027.
Menurut kenyataan syarikat, pengeluaran televisyen (TV) di PAVCKM akan dihentikan manakala pengeluaran pemain cakera Blu-ray akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co., Ltd. (CHPAVC) di China menjelang akhir September 2026.
Syarikat itu turut mengumumkan pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics akan ditamatkan menjelang akhir Februari 2027, dengan operasi pengeluaran berkenaan dipindahkan ke entiti lain di bawah Kumpulan Panasonic.
Mengenai nasib pekerja, PAVCKM menegaskan pihak pengurusan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Elektrik (EIWU) bagi memastikan sokongan sewajarnya diberikan kepada kakitangan terjejas, merangkumi bantuan penempatan semula pekerjaan dan transisi kerjaya.
Kumpulan Panasonic menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai antara hab serantau utamanya, dengan rangkaian syarikatnya di negara ini menggaji kira-kira 12,000 pekerja merentasi pelbagai fungsi merangkumi pembuatan bernilai tambah tinggi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).










