IPOH: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terbabit dalam cubaan memecah masuk sebuah rumah di Jalan Building Society, Taman Star, awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak, Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi apabila dua lelaki disyaki menceroboh kediaman berkenaan dengan memasuki rumah melalui tingkap yang dipercayai telah diumpil.
Menurutnya, tindakan itu bagaimanapun disedari penjaga rumah sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
“Dalam kejadian itu, seorang daripada suspek dipercayai berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan masalah saluran jantung tersumbat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, polis sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, Alwi menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.










