KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, menyifatkan alasan kerajaan menangguhkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) demi mengelakkan panik dalam kalangan penyimpan sebagai langkah yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi awam.
Menurutnya, alasan sedemikian berpotensi membentuk persepsi bahawa setiap kelewatan mendedahkan laporan RCI pada masa depan berpunca daripada usaha menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.
Beliau berkata, walaupun penjelasan yang diberikan Perdana Menteri dibuat dengan niat baik, ia tetap akan menghakis keyakinan rakyat terhadap proses pendedahan hasil siasatan rasmi.
“Kalau alasan itu benar sekalipun, apabila kerajaan menggunakan hujah sedemikian, selepas ini setiap kali laporan RCI tidak didedahkan segera, orang ramai akan menganggap ada perkara yang cuba disembunyikan.
“Jadi, kesannya tetap negatif terhadap persepsi awam walaupun alasan itu diberikan secara ikhlas,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap.
Shahril turut mempersoalkan mengapa laporan berkenaan hanya mahu dibentangkan sekarang sedangkan siasatan telah diselesaikan sejak dua tahun lalu.
Beliau berpendapat tempoh masa yang diambil menimbulkan persoalan kerana ia dilihat berlaku pada waktu yang lebih menguntungkan dari sudut politik.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin menegaskan penubuhan RCI Tabung Haji dibuat ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan bukannya hasil keputusan kerajaan perpaduan.
Katanya, siasatan itu merangkumi tempoh pentadbiran Tabung Haji antara 2014 hingga 2020, termasuk tindakan selepas 2018 membabitkan pemindahan aset bermasalah ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).
“RCI ini diwujudkan ketika kami mentadbir kerana tiada apa yang perlu disorokkan.
“Malah, bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri pernah meminta supaya laporan itu dibentangkan di Parlimen kerana beliau yakin tidak melakukan sebarang salah laku,” katanya.
Khairy turut menepis dakwaan kononnya laporan RCI itu digunakan sebagai alat tekanan politik terhadap UMNO.
Beliau berkata, pendirian UMNO jelas iaitu menyokong tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya siasatan membuktikan wujud unsur salah guna kuasa.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Jemaah Menteri dijangka membuat keputusan mengenai laporan RCI Tabung Haji dalam mesyuarat Kabinet hari ini sebelum menentukan sama ada ia akan didedahkan kepada umum.
Anwar sebelum ini menjelaskan pendedahan laporan tersebut ditangguhkan bagi memastikan proses pemulihan dan penstrukturan semula Tabung Haji tidak menjejaskan keyakinan penyimpan serta dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.










