KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kesemua 113 pelarian yang dipindahkan dari hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memiliki dokumen sah yang dikeluarkan oleh agensi antarabangsa berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil pemeriksaan dan proses dokumentasi mendapati semua pelarian terbabit berdaftar dengan UNHCR, manakala tindakan susulan kini sedang diuruskan oleh pihak agensi tersebut.
Menurut beliau, buat masa ini kesemua pelarian ditempatkan sementara di Dataran Wira, IPK Kuala Lumpur sementara urusan berkaitan diselesaikan.
“Proses dokumentasi telah dijalankan oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKA) Kuala Lumpur bersama wakil UNHCR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadil berkata, operasi pemindahan yang dijalankan kira-kira jam 8.50 malam semalam melibatkan seramai 113 pelarian, termasuk seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita Somalia dan seorang wanita Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Daripada jumlah itu, seramai 110 ialah etnik Rohingya yang terdiri daripada 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
Semalam, media melaporkan ratusan pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur bagi menjalani proses pengesahan identiti dan dokumentasi.
Operasi berkenaan menggunakan empat trak polis selepas dua trak yang disediakan pada peringkat awal tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian membawa bersama bagasi serta barangan peribadi.
Sebelum ini, media turut melaporkan kumpulan pelarian berkenaan dipercayai berkumpul di hadapan pejabat UNHCR selepas diusir oleh penduduk tempatan dari sebuah kampung di Pulau Pinang.










