KUALA LUMPUR: Kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke Malaysia merupakan hasil kejayaan diplomasi diraja yang memperlihatkan hubungan erat serta kepercayaan tinggi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, persahabatan peribadi yang terjalin sejak tahun 2017 itu terus berkembang kepada pengukuhan hubungan diplomasi antara kedua-dua negara, terutamanya susulan lawatan negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada tahun 2025.
Penganjuran F1 Grand Prix Bahrain sebelum ini berdepan ketidaktentuan akibat cabaran kalendar perlumbaan berikutan konflik bersenjata di Asia Barat, yang memerlukan penyelesaian segera demi memastikan perlumbaan berprestij berkenaan dapat diteruskan.
”Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Raja Bahrain telah mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon kepada Yang di-Pertuan Agong.
”Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan itu menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Federation Internationale de l’Automobile (FIA),” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu menambah, hasil persefahaman berkenaan menyaksikan persetujuan berjaya dicapai untuk menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Langkah berkenaan secara tidak langsung mengembalikan semula saingan perlumbaan F1 ke bumi Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.
Pengumuman Litar Sepang sebagai tuan rumah baharu bagi F1 Grand Prix Bahrain disambut baik oleh peminat sukan permotoran di Malaysia dan peringkat serantau.
Ia sekali gus mencipta lembaran sejarah tersendiri yang mencerminkan keunggulan diplomasi diraja antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad.










