Tok Min Nafi Dakwaan Che’guBard, Tegaskan Projek Pelabuhan Port Dickson Tidak Libat Pengambilan Tanah

​SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Penyelaras Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Che’guBard, berhubung projek pembangunan pelabuhan di Port Dickson.

​Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, tuduhan bahawa projek berkenaan akan menjejaskan kawasan perkampungan, tanah adat serta kawasan hutan simpan adalah tidak benar dan menunjukkan pihak terbabit tidak membuat kajian sebelum mengeluarkan kenyataan.

​​Aminuddin menegaskan bahawa projek berkenaan merupakan kerjasama strategi antara pihak swasta iaitu Tanco Holdings Berhad dan Menteri Besar Negeri Sembilan Incorporated (MBINS) menerusi anak syarikatnya, Midport, tanpa melibatkan sebarang pengambilan tanah rakyat.

​”Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Tidak ada satu kampung pun yang akan dikorbankan, tidak ada pengambilan tanah penduduk dan tiada kawasan hutan simpan atau tanah adat yang terkesan.

​”Malah, syarikat Tanco Holdings itu sendiri sudah mempunyai tanah seluas 500 ekar (202 hektar) yang sedia ada untuk dijadikan tapak pembangunan pelabuhan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini berkata, Che’guBard kemungkinan terkeliru dengan lokasi projek berkenaan.

​”Saya rasa Che’guBard tersalah tempat sebenarnya. Di sempadan Negeri Sembilan dan Melaka memang ada satu lagi projek pelabuhan iaitu Kuala Linggi International Port (KLIP), tetapi itu di bawah pentadbiran negeri Melaka dan tiada kena-mengena dengan kita.

​”Projek kita di Pasir Panjang ini langsung tidak melibatkan Sungai Linggi atau kawasan yang didakwanya,” katanya.

​Aminuddin turut menjelaskan pelantikan syarikat China Construction Canal Port Engineering Co Ltd (CCCC) oleh pihak swasta berkenaan adalah semata-mata sebagai kontraktor pembinaan, manakala peranan Menteri Pengangkutan hanyalah memberi kelulusan dan sokongan di peringkat kementerian bagi membolehkan projek dijalankan.

​Jelas beliau, projek pelabuhan baharu bernilai RM3.4 bilion bagi fasa pertama itu bakal menjadi ‘game changer’ kepada ekonomi Negeri Sembilan khususnya dalam membuka peluang pekerjaan serta merancakkan sektor perindustrian zon bebas cukai di daerah ini.

​”Pihak kerajaan negeri sentiasa memelihara amanah serta kepentingan rakyat, khususnya masyarakat Melayu tempatan. Kita juga memastikan kebajikan nelayan yang terjejas diberikan pampasan RM1,000 sebulan bagi memastikan mereka mendapat manfaat daripada pembangunan ini,” katanya.

Sebelum ini, Che’guBard dalam satu kenyataan mendakwa projek pelabuhan pintar berkenaan bakal merampas tanah penduduk kampung serta menjejaskan ekosistem setempat.

​”Projek ini dia nak bulldozed dan ambil alih semua kawasan 1,400 ekar (566 hektar). Ini kawasan orang kampung termasuk hutan simpan, tanah adat, kawasan pertanian dan lot-lot kediaman berhampiran.

​”Apa nasib ratusan penduduk dan nelayan darat yang bergantung kepada Sungai Linggi? Sektor pelancongan dan pengusaha river cruise semua akan terjejas,” dakwa Che’guBard.

BBerkaitan

Latest articles