PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pengurusan sekolah, terutamanya pengetua dan guru besar, perlu bersikap telus dan tidak sesekali menyembunyikan kes buli mahupun masalah disiplin semata-mata mahu menjaga imej dan prestasi peratusan sekolah.
Beliau berkata keselamatan murid mesti diberi keutamaan berbanding kedudukan carta prestasi sesebuah institusi pendidikan.
”Saya sokong pengetua atau guru besar yang berani mendedahkan kes buli atau disiplin di sekolah mereka.
“Jangan kerana nak jaga imej atau peratusan sekolah, kita sembunyikan perkara ini sehingga mengorbankan keselamatan dan penderitaan anak-anak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama-sama Warga Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan KPM, hari ini.
Anwar turut berkongsi amalan peribadinya yang sering bertanya terus kepada murid-murid sekolah secara santai ketika singgah di masjid atau warung pada hari Jumaat bagi mendapatkan gambaran sebenar di peringkat akar umbi tanpa ditapis.
”Bila saya tanya terus pada anak-anak, saya dapat tahu hal sebenar dari kebersihan tandas hinggalah soalan seperti ‘cikgu matematik ada masuk kelas tak?’. Perkara asas begini yang perlu kita ambil tahu,” katanya.
Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut memberikan penekanan khusus mengenai konsep keadilan sosial dalam pendidikan, sambil menjelaskan bahawa pelaksanaan meritokrasi tidak sepatutnya digunakan sehingga merugikan atau “menghukum” golongan kurang berkemampuan dan murid dari kawasan luar bandar.
Beliau memberi contoh jurang kemudahan yang dihadapi pelajar luar bandar dan bandar perlu dipertimbangkan secara adil dalam menilai pencapaian akademik mereka.
”Anak yang dapat 6A dari sekolah ulu atau luar bandar, cabaran mereka berbeza dengan anak yang dapat 10A di sekolah terbaik dengan pelbagai kemudahan.
“Keadilan itu bermaksud kita kena ambil kira latar belakang mereka. Meritokrasi tidak boleh sampai menghukum orang miskin dan tersisih,” tegas beliau.
Mengulas mengenai peruntukan sektor pendidikan, Anwar menyorot rekod antarabangsa menerusi senarai UNESCO yang menyaksikan Malaysia antara negara tertinggi memberikan peruntukan pendidikan dalam belanjawan tahunan.
Kerajaan kini turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan STEM, pengajaran matematik, serta pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagi membuktikan komitmen keadilan tersebut, beliau turut mendedahkan berita gembira buat lebih 30,000 pelajar Tingkatan 6 yang kini bakal menerima bantuan kewangan yang sama seperti murid dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5.
”Kita juga mahu persekitaran Tingkatan 6 ini diubah. Walaupun mereka kekal di bawah KPM, suasana mereka mestilah dirasai seperti pelajar pra-universiti, termasuk pengasingan blok dan perhimpunan khas,” katanya.










