Manifesto BN Berteraskan Suara Rakyat, Bukan Janji Kosong – Jalaluddin

SENDAYAN: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tawaran yang dibina berasaskan suara rakyat dan realiti semasa, bukannya sekadar janji politik untuk memenangi pilihan raya.

Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kandungan manifesto itu dirangka hasil siri libat urus bersama pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, petani, usahawan, penjawat awam, wanita, warga emas, komuniti FELDA dan Orang Asli.

Menurutnya, hasil pertemuan tersebut mendapati rakyat tidak mengharapkan janji luar biasa, sebaliknya mahukan sebuah kerajaan yang amanah, mendengar keluhan mereka dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Manifesto ini bukan sekadar janji manis untuk meraih undi, tetapi pelan tindakan yang realistik, boleh dilaksanakan dan dirangka demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN bagi PRN Negeri Sembilan di Sendayan, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, kestabilan politik menjadi asas penting kepada kemajuan sesebuah negeri kerana ketidaktentuan politik akan memberi kesan kepada ekonomi, keyakinan pelabur, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menegaskan, bagi BN, pilihan raya bukan sekadar medan persaingan politik, sebaliknya amanah untuk menentukan hala tuju pembangunan negeri.

“Manifesto yang baik bukanlah yang paling tebal atau dipenuhi janji sukar ditunaikan, tetapi manifesto yang mampu membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, boleh dilaksanakan dan berani dipertanggungjawabkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan BN akan menubuhkan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto bagi memastikan setiap komitmen yang dijanjikan dapat dipantau dan direalisasikan secara berkesan.

Beliau turut menyeru seluruh jentera BN di 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan menyampaikan kandungan manifesto secara berfakta dan berhemah kepada rakyat.

“Terangkan dengan jujur apa yang ingin kita lakukan, yakinkan rakyat dengan fakta, bukan fitnah, dan buktikan BN sentiasa mengamalkan politik yang menyatukan, bukannya memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles