Asyraf Wajdi Perjelas BN Tak Pernah Setuju Nama ‘Perikatan Barisan Nasional’

JEMPOL: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa semua pihak menerima dengan hati terbuka kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan keikhlasan menjadi kunci bagi memastikan persefahaman itu berjaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, kerjasama yang dimeterai bukan bertujuan membentuk gabungan politik baharu, sebaliknya hanya bagi mengelakkan pertindihan kerusi serta memaksimumkan peluang kemenangan kedua-dua pihak.

“Kita kena ikhlaskan. Kita minta Allah rahmati kerjasama ini dan mudah-mudahan dipermudahkan.

“Kalau kita boleh bekerjasama dengan baik, insya-Allah Negeri Sembilan menjadi permulaan dan pencetus kepada suatu penyatuan yang didambakan oleh umat Islam keseluruhannya,” katanya ketika ditemui selepas program kempen PRN Negeri Sembilan di Palong 4, malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya kerjasama BN dan PN dikenali sebagai ‘Perikatan Barisan Nasional’.

Asyraf menegaskan, kepimpinan BN tidak pernah membincangkan mahupun meluluskan penggunaan nama tersebut.

“Mengenai ‘Perikatan Barisan Nasional’, itu kenyataan beliau. Kami di peringkat kepimpinan tidak pernah bersetuju dengan cadangan itu.

“Biar kita bekerjasama dan mempunyai kesefahaman, tidak bertindih kerusi dan sama-sama menang dalam PRN Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula berpandangan isu penamaan kerjasama BN-PN bukan perkara yang perlu diberikan keutamaan ketika ini.

Beliau berkata, cadangan tersebut hanyalah pandangan peribadi Hamzah dan sebarang keputusan mengenainya perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti.

“Pada saya, soal nama itu bukan isu besar dan bukan perkara yang perlu difikirkan sekarang,” katanya.

Kerjasama BN-PN bagi PRN Negeri Sembilan sebelum ini dimeterai atas dasar persefahaman bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus memperkukuh peluang untuk menewaskan lawan di negeri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles