SEREMBAN: Status “anak jati” tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak dalam memilih calon pilihan raya, sebaliknya rekod keluarga, hubungan dengan masyarakat serta komitmen berkhidmat kepada kawasan perlu diberi keutamaan.
Calon Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Datuk Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, beliau tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa dirinya dilahirkan di Seremban, namun mempunyai pertalian keluarga yang kuat dengan Seri Menanti sejak turun-temurun.
Menurutnya, soal asal-usul perlu dijelaskan secara jujur kepada rakyat dan bukannya dimanipulasi demi meraih sokongan politik.
“Saya tidak akan menipu dalam perkara ini atau mengatakan sesuatu yang tidak betul. Memang saya dilahirkan di Seremban.
“Tetapi ibu, nenek dan keluarga saya berasal dari Seri Menanti. Sejak kecil sehingga hari ini, setiap tahun saya tetap pulang ke Seri Menanti untuk beraya dan menghadiri pelbagai urusan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu calon bukan anak jati yang sering dibangkitkan setiap kali musim pilihan raya.
Megat Shahriman berkata, bagi beliau, ukuran sebenar seseorang calon bukan terletak pada lokasi kelahiran semata-mata, sebaliknya sejauh mana keluarga mereka mempunyai hubungan dan sumbangan kepada kawasan yang diwakili.
“Yang penting bukan soal anak jati semata-mata. Yang lebih utama ialah susur galur sesebuah keluarga.
“Apakah keluarga itu telah berbakti kepada Seri Menanti? Apakah mereka mempunyai hubungan yang kuat dengan kawasan ini, sama ada daripada keluarga diraja, bangsawan ataupun keluarga yang telah lama menyumbang kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, komitmen seseorang terhadap kawasan juga lebih penting daripada sekadar mendakwa diri sebagai anak tempatan.
“Sejak kecil hingga sekarang saya pulang ke Seri Menanti, setiap kali raya, apa jua raya saya di sini. Saya rasa komitmen saya untuk pulang ke kampung setiap tahun mungkin lebih baik daripada segelintir yang mengaku anak jati tetapi sudah lama tidak kembali atau tidak lagi bersama masyarakat di sini,” katanya.
Justeru, beliau berharap pengundi membuat penilaian berdasarkan integriti, rekod perkhidmatan serta kesungguhan calon untuk membela rakyat, bukannya hanya berpandukan status kelahiran.
“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai siapa yang benar-benar mengenali Seri Menanti, memahami kehendak penduduk dan bersedia berkhidmat kepada mereka,” katanya.










