SEREMBAN: Kerajaan akan meningkatkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat sebagai usaha meringankan tekanan kos sara hidup yang terus dihadapi rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti maklum balas serta keluhan rakyat walaupun pelbagai bentuk bantuan kewangan telah disalurkan sebelum ini.
Menurut beliau, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA sememangnya memberi manfaat, namun kerajaan mengakui masih terdapat rakyat yang berdepan kesukaran akibat peningkatan kos kehidupan.
“Walaupun kita beri STR, SARA, dan di Negeri Sembilan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut memberi bonus yang tinggi kepada penjawat awam, adakah semua masalah selesai? Belum.
“Sebab itu kita dengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan kerajaan sentiasa menilai keperluan untuk menambah jumlah bantuan kepada rakyat, termasuk melalui STR dan SARA, bergantung kepada kedudukan kewangan serta prestasi ekonomi negara.
Beliau berkata, cadangan itu telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, dan akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027.
Langkah meningkatkan kadar SARA dilihat sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial, sekali gus membantu golongan yang paling terkesan dengan kos sara hidup.










