JPM Hal Ehwal Agama Perkukuh Tadbir Urus Berintegriti, Hayati Titah Sultan Nazrin

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited memperkukuh tadbir urus institusi agama berasaskan integriti, akauntabiliti dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang menggesa negara Islam mengamalkan tadbir urus cemerlang serta pembangunan yang inklusif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, prinsip “Everyone Matters” (Setiap Insan Dihargai) yang dizahirkan Sultan Nazrin bukan sahaja menepati aspirasi Islam, malah seiring dengan tuntutan Maqasid Syariah dan konsep karamah insaniah yang menekankan keadilan sosial serta kebajikan masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan itu menuntut setiap dasar dan pentadbiran memberi keutamaan kepada kemaslahatan rakyat tanpa mengira latar belakang, di samping memastikan hak serta kebajikan mereka terus dipelihara.

“Seruan Baginda agar negara Islam memperkukuh tadbir urus dan pembangunan inklusif berasaskan prinsip ‘Everyone Matters’ amat bertepatan dengan aspirasi Islam.

“Prinsip ini sejajar dengan tuntutan Maqasid Syariah dan karamah insaniah yang menuntut keadilan sosial, memelihara kemaslahatan ummah serta menjamin kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada semalam.

Sebelum ini, ketika merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8, Sultan Nazrin bertitah bahawa perkhidmatan awam yang dilaksanakan demi kepentingan setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik menjadi lambang perpaduan negara yang kukuh serta kepimpinan yang mengutamakan suara rakyat.

Baginda turut mengingatkan bahawa pembangunan tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian kerana perdagangan, pelaburan serta pertukaran ilmu dan teknologi antara negara merupakan pemangkin kepada kemakmuran sejagat.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kementeriannya akan memastikan pengurusan institusi agama dan perbelanjaan awam dilaksanakan berlandaskan nilai integriti, itqan (kesempurnaan kerja) dan akauntabiliti.

Beliau menegaskan kuasa yang diamanahkan perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab, disertai sifat rendah hati, kesediaan mendengar keluhan rakyat serta pengurusan harta awam yang telus demi kesejahteraan ummah.

Pada masa sama, beliau menggesa seluruh agensi agama dan umat Islam untuk terus menyemarakkan budaya kerja beretika, memperkukuh perpaduan sosial serta memperluaskan kerjasama dan perkongsian ilmu sebagai asas membina masyarakat yang lebih progresif dan sejahtera. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles