Anwar Akui Terkejut Kerjasama BN-PN, Namun Yakin PH Mampu Pertahan Negeri Sembilan

SENAWANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pembentukan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengejutkan Pakatan Harapan (PH), sekali gus menjadikan saingan di negeri itu lebih sengit berbanding jangkaan awal.

Pengerusi PH itu berkata, perubahan landskap politik berikutan persefahaman BN-PN telah mengubah situasi yang sebelum ini dianggap lebih memihak kepada gabungan kerajaan.

Menurutnya, sentimen penyatuan orang Melayu yang dibawa menerusi kerjasama baharu itu turut memberi tekanan kepada PH dalam menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

“Apakah Negeri Sembilan ini mudah? Tak. Dua bulan dulu mudah… datang kejutan pakatan baharu mereka ini, kita terkejut.

“Ada orang Melayu kata inilah peluang untuk Melayu bersatu, jadi kita rasa tertekan. Tetapi tidak apa, kita bertawakal kepada Allah,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.

PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan BN dan PN mencapai persetujuan mengelakkan pertembungan sesama sendiri dengan mengagihkan kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membabitkan 25 kerusi ditandingi BN dan 11 kerusi oleh PN.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan cabaran politik yang dihadapi tidak akan menggugat komitmennya untuk terus mentadbir negara berasaskan keadilan, integriti dan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, segala kritikan, tohmahan dan penghinaan yang dilemparkan terhadapnya tidak akan mengubah pendirian kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Katalah apa pun, makilah saya berbakul-bakul, hinalah saya bagaimanapun… saya tidak akan bertolak ansur untuk menegakkan keadilan bagi semua,” tegasnya.

Mengulas dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan kepentingan agama dan orang Melayu, Anwar menolak tuduhan itu sambil menegaskan pentadbirannya sentiasa mempertahankan hak masyarakat Melayu dan Islam tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain.

Beliau berkata, langkah mengisytiharkan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu serta peruntukan RM1.4 bilion kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata kepimpinan negara perlu menjadi contoh dengan menolak amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Saya nak orang Melayu rasa inilah pimpinan Melayu yang tak curi duit, yang betul-betul kasih pada orang Melayu. Saya nak orang Cina dan India rasa ada pimpinan Melayu yang tak curi duit, tak hina mereka dan anggap mereka sebagai sahabat serta keluarga,” katanya.

Anwar turut mendakwa terdapat bekas pemimpin yang menyalahgunakan kuasa sehingga mengumpul kekayaan luar biasa, sambil mengingatkan jentera kerajaan dan parti supaya tidak gentar dengan strategi politik lawan, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada perkhidmatan yang berintegriti demi kepentingan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles