‘Bekas Menteri Tinggal Harta RM4 Bilion, Cabarlah Saya, Saya Dedah Rekod’

SENAWANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat seorang bekas menteri yang meninggalkan harta bernilai kira-kira RM4 bilion selepas meninggal dunia, sambil menegaskan kerajaan memiliki rekod berkaitan kekayaan luar biasa individu berkenaan.

Anwar berkata, beliau bersedia mendedahkan rekod tersebut sekiranya ada pihak yang berani mencabarnya secara terbuka.

“Ada menteri bila meninggal dunia, hartanya ditinggalkan RM4 bilion. Saya tunggu orang nak cabar, saya keluarkan rekod.

“Bagaimana seorang menteri boleh kumpul harta sehingga RM4 bilion? Dari mana datangnya wang sebanyak itu jika bukan daripada hasil perbuatan yang tidak berintegriti?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tindakan Kerajaan Perpaduan memperhebat usaha membanteras rasuah dan penyelewengan bukan bermotifkan dendam politik, sebaliknya bagi memastikan wang negara tidak lagi tiris akibat amalan salah guna kuasa.

Menurutnya, ketirisan yang berlaku sebelum ini telah menjejaskan keupayaan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan dan manfaat kepada rakyat serta memperkukuh ekonomi negara.

Dalam pada itu, Anwar turut menolak dakwaan kononnya kerajaan pimpinannya mengabaikan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Beliau menegaskan, sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan, tidak pernah timbul bantahan daripada mana-mana anggota Kabinet, termasuk pemimpin DAP, terhadap sebarang dasar atau peruntukan yang bertujuan memperkasa Bumiputera.

“Setakat ini tidak pernah ada permohonan atau agenda untuk membela orang Melayu, Islam, FELDA mahupun MARA yang ditolak oleh DAP atau rakan Kabinet lain.

“Semuanya disokong kerana mereka faham itu adalah tanggungjawab yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat agar terus mempertahankan kestabilan politik dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau naratif yang disifatkannya sebagai fitnah, sambil menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh agenda tadbir urus yang telus serta memerangi rasuah demi kepentingan negara.

BBerkaitan

Latest articles